Sunday, 23 December 2012

Isu kebanjiran pendatang asing di Malaysia.

Saya selaku rakyat Malaysia merasa amat terkilan dengan berlakunya kebanjiran pendatang asing di negara Malaysia yang indah lagi permai ini. Sungguh, seperti sudah berada di negara asing pula, padahal berada di negara sendiri. Perasaan geram yang menular dalam hati ini sekali-kali tidak dapat saya sangkalkan, tatkala melihat banyak berlakunya kes jenayah terhadap rakyat Malaysia akibat daripada pendatang asing yang berniat jahat. Isu pekerja asing memang adalah satu topik yang lama di negara kita namun ia tetap hangat diperkatakan sehingga kini. Sejak tahun 90-an, Malaysia menjadi tumpuan pekerja asing oleh rakyat negara jiran yang miskin. Bilangan pekerja asing yang datang ke Malaysia kian meningkat dari sehari ke sehari sehinggalah menyebebkan ia menjadi satu masalah kepada negara. Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen, jumlah pekerja asing di Malaysia adalah seramai 1.8juta orang. Mereka sebahagian besarnya adalah bertumpu di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Malh, jumlah ini tidak termasuklah mereka yang memasuki Malaysia secara haram dan yang ditahan di pusat tahanan imigresen. Pekerja asing ini kebanyakannya terdiri daripada rakyat Indonesia, Bangladesh, Nepal, Myanmar, India, Vietnam dan Filipina. Biasanya, masalah politik dan dalaman negara mereka meyebabkan mereka terpaksa mencari pekerjaan di luar negara untuk mengubah nasib mereka. Mereka berkhidmat dalam sektor pembinaan, pembuatan, perladangan, pembantu rumah dan pertanian. Punca kedatangan pekerja asing ke Malaysia adalah disebabkan peluang pekerjaan yang lebih baik berbanding di negara asal mereka. Pekerjaan yang terdapat di Malaysia mampu memberi pendapatan yang tinggi sehingga ribuan ringgit sebulan. Wang tersebut boleh dikirim ke negara asal mereka untuk menyara keluarga. Selain itu, faktor yang menggalakan kedatangan pekerja asing ialah permintaan yang tinggi terhadap pekerja asing oleh majikan tempatan. Hal ini kerana upah yang menggaji pekerja asing adalah jauh lebih rendah daripada pekerja tempatan. Keadaan ini ditambah pula dengan pekerja asing yang sanggup melakukan kerja berat dan mampu bekerja dengan jangka masa yang panjang berbanding pekerja tempatan yang lebih gemar pekerjaan yang senang lenang dan bergaji tinggi. Tambahan pula, keamanan dan kemakmuran negara kita mendorong kebanjiran pekerja asing di Malaysia. Keadaan di negara asal mereka contohnya Indonesia dan Bangladesh huru-hara kerana kerap dilanda peperangan, bencana alam dan rusuhan kaum. Ketidakstabilan politik negara mereka juga menyebabkan kehidupan mereka bertambah susah. Sememangnya kehadiran pekerja asing sama ada sah atau haram ini mampu memenuhi keperluan pasaran tenaga buruh dalam perkembangan ekonomi yang pesat tetapi jumlah mereka yang terlalu besar telah mengundang kesan yang negatif terhadap Malaysia. Antaranya ialah kadar kes jenayah yang semakin tinggi akibat kehadiran pekerja asing terutamanya pekerja asing secara haram. Sesetengah pekerja asing yang tidak mempunyai pekerjaan dan gaji yang tetap, justeru mereka sanggup melakukan jenayah seperti rompakan untuk membiayai kehidupan diri dan keluarga. Kehidupan rakyat Malaysia menjadi tidak aman disebabkan kes jenayah yang tinggi. Di samping itu, wang negara yang mengalir keluar dengan banyak kerana pekerja asing yang bekerja di sini menghantar wang balik ke negara asal setiap bulan. Wang tersebut bukan sahaja tidak digunakan untuk menjana ekonomi negara malah digunakan untuk membangunkan ekonomi negara asal pekerja asing. Keadaan ini memang tidak sihat dan akan merugikan negara dalam jangka masa panjang dan semasa kemelesetan ekonomi berlaku. Dengan bilangan pekerja asing yang ramai juga peluang pekerjaan rakyat tempatan telah dikurangkan. Rakyat tempatan lebih susah untuk mencari pekerjaan dan mungkin akan menyebabkan pengangguran. Walaupun membawa kesan negatif, kedatangan pekerja asing juga mempunyai kebaikannya. Contohnya, pekerja asing dapat menampung kekurangan pekerja di sektor tertentu yang tidak diminati oleh rakyat tempatan seperti sektor pertanian dan perladangan. Pekerja asing yang bertumpu di Malaysia juga mampu meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran negara dalam pelbagai sektor. Seterusnya proses pembangunan negara akan dipercepatkan dan negara menjadi lebih maju. Imej negara turut ditingkatkan kerana kemasukan pekerja asing di Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang ekonominya stabil dan mantap. Negara dianggap sanggup berkongsi kekayaan dengan negara jirannya serta mempunyai pemimpin dan rakyat yang bersatu teguh demi mencapai matlamat negara. Imej negara yang baik dapat menarik perhatian pelabur asing untuk melabur di Malaysia.

1 comment: